"Teliti semua perkara pastikan formula mampu ringan beban rakyat"
Putrajaya : Aspek kos sara hidup rakyat akan dilihat dalam skop lebih luas pada Bajet 2017 yang akan dibentangkan Oktober ini, tanpa hanya menumpukan kepada keperluan asas semata- mata.
Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata antara aspek yang akan diberi tumpuan, termasuk langkah untuk mengawal harga makanan dan pengangkutan,kemudahan mendapatkan pinjaman bank, perumahan, pendidikan dan barangan keperluan seperti telefon bimbit selain akses internet.
"Dari aspek perumahan contohnya, kita membina rumah untuk rakyat yang betul-betul memerlukan rumah untuk tinggal, bukan untuk pelaburan dan ia perlu betul-betul mampu milik.
“Kos pendidikan juga semakin mahal terutama (pendidikan) swasta, selain barang keperluan seperti telefon bimbit dan akses internet yang mesti dimiliki.
“Justeru, kos sara hidup ketika ini bukan hanya mengenai makanan, ada banyak spektrum lain yang kita perlu lihat dan semua ini perlu dirangkumkan sebagai kos sara hidup,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Fokus Bajet 2017 di situ, semalam.
Ringan beban rakyat
Johari berkata, semua perkara itu akan dilihat secara terperinci bagi memastikan formula yang dirangka mampu meringankan beban rakyat, namun mengakui ia tidak mudah terutama selepas negara kehilangan hasil RM30 bilion berikutan kejatuhan harga minyak dunia.
Ditanya dakwaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) antara faktor utama yang menyumbang peningkatan kos sara hidup rakyat, Johari berkata, GST adalah sistem percukaian paling efisien di mana negara mampu mendapatkan kembali hasil daripada ekonomi gelap yang sebelum ini tercicir ketika pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Bajet 2017 dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 21 Oktober 2016.
Sementara itu, mengenai permohonan untuk timbang tara (RFA) yang difailkan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Johari berkata, beliau yakin isu itu akan berpihak kepada syarikat pelaburan strategik kerajaan.
Sumber : Berita Harian (2 Ogos 2016)
Tulisan : Zanariah Abd Mutalib
TEKNIK INSTAGRAM --> http://goo.gl/wu0QMd
MUDAHNYA BELAJAR FOREX --> http://goo.gl/3mTrET
BLOG PROJEK RM10 --> http://projek-rm10-sahaja.blogspot.com/