"Pemilik kediaman boleh berbincang dengan pihak bank untuk membuat penjadualan semula pembayaran tunggakan"
Rumah lelang sering dipandang sepi oleh mereka yang berhasrat untuk mendapatkan kediaman sendiri khususnya bagi pembeli pertama
sedangkan ia ditawarkan jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.
Namun, tahukah anda mengapa sesuatu hartanah
itu dilelong dan apa yang perlu dilakukan sekiranya kita menghadapi situasi berkenaan?
Menurut Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Shukor, sesuatu hartanah itu boleh dilelang apabila pemiliknya gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanan pinjaman atau pembiayaan pembelian hartanah dengan bank atau pembiaya.
“Biasanya selepas tiga bulan berturut-turut
gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanan, bank akan mula menghantar notis tuntutan kepada mereka untuk menjelaskan tunggakan berkenaan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Sekiranya masih gagal berbuat demikian, barulah bank atau pembiaya akan mengarahkan peguam mereka menghantar notis tuntutan kepada pemilik hartanah dan seterusnya memfailkan prosiding lelongan untuk unit berkenaan,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini, semalam.
Namun, menurutnya prosedur lelongan ini dijalankan secara berperingkat dan tidak dilakukan secara serta-merta.
“Pemilik tidak perlu bimbang kerana walaupun peguam sudah memfailkan prosiding lelongan, namun ia tidak bermakna rumah berkenaan akan dilelong pada minggu berikutnya.
“Proses berkenaan mungkin mengambil masa beberapa bulan bahkan ada kes yang menjangkau bertahun-tahun sebelum hartanah itu dilelong secara rasmi memandangkan prosiding lelongan akan membabitkan banyak pihak seperti pejabat
tanah atau mahkamah," katanya.
Salkukhairi berkata, kebiasaannya, sebelum lelongan dibuat, pihak bank atau peguam bank akan menghantar notis tuntutan kepada pemilik hartanah dan apabila menerima notis itu, pemilik sepatutnya perlu segera menjelaskan bayaran tunggakan.
“Jika pemilik mempunyai masalah kewangan misalnya, mereka hendaklah berjumpa dan berbincang dengan pihak bank untuk membuat penjadualan semula pembayaran tunggakan sebelum prosiding lelongan diteruskan.
“Jika pihak bank berpuas hati dengan komitmen yang kita tunjukkan, biasanya mereka tidak akan teruskan dengan prosiding lelongan,” katanya.
Katanya, apabila menerima notis tuntutan daripada bank akibat tunggakan bayaran ansuran perumahan, pemilik dinasihatkan supaya tidak melarikan diri sebaliknya berbincang dengan pihak bank untuk membuat penjadualan semula bayaran.
“Ada yang gagal dihubungi kerana menukar nombor telefon atau sengaja mengelak panggilan daripada bank. Rumah pun sentiasa berkunci dan takut untuk melihat surat yang dihantar posmen kerana bimbang ia datang daripada pihak bank.
Tindakan ini adalah kesilapan besar kerana jika kita mengabaikan notis tuntutan itu dan tidak pergi berjumpa dengan pihak bank untuk berbincang, mereka sudah pasti akan teruskan dengan prosiding lelongan," katanya.
Menurutnya, sekiranya penyelesaian tidak dapat dibuat sehingga menyebabkan prosiding lelongan diteruskan oleh pihak bank dan hartanah milik kita dilelong dengan rasminya, jangan
bahayakan diri dengan mengambil tindakan di luar batas perundangan.
Katanya, apa yang perlu dilakukan adalah serahkan saja hartanah berkenaan kepada pihak yang berjaya dalam lelongan kerana ada kemungkinan sekiranya hartanah itu dilelong melebihi jumlah tunggakan hutang kita dengan bank, lebihan hasil lelongan akan diserahkan kembali kepada kita oleh pihak bank.
“Dengan lebihan itu, pemilik mungkin boleh pertimbangkan untuk membeli hartanah baru atau mencari peluang pemilikan hartanah
yang lain,” katanya.
Sumber : Harian Metro (2 Julai 2016)
Tulisan : Syarifah Dayana Syed Bakri