Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my
BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengemukakan empat cadangan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Pelan Induk Sektor Kewangan Kedua (PISK2) bagi segmen perbankan Islam untuk tempoh 2011 hingga 2020 yang dijangka diumumkan BNM pada suku keempat tahun ini.
Ketua Ekonomi Perancangan Strateginya, Azrul Azwar Ahmad Tajudin (gambar) berkata, Bank Islam adalah panel yang terbabit dalam merangka cadangan bagi membentuk PISK2 dan beberapa bank lain turut diundang untuk mengemukakan cadangan bagi mencapai matlamat PISK2.
Beliau berkata, antara saranan diusulkan Bank Islam adalah meningkatkan penguasaan pasaran aset, deposit dan kewangan kepada 50 peratus daripada keseluruhan sistem perbankan berbanding sekitar 20 peratus yang dicatatkan ketika ini.
“Kami turut mencadangkan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menggunakan minimum 50 peratus transaksi kewangan syarikat mereka bersandarkan kepada sistem kewangan Islam. Selain itu, ia juga sebagai insentif kepada syarikat multinasional untuk menggunakan produk kewangan dan perkhidmatan berteraskan syariah.
“Langkah ini dapat mempromosikan kewangan mikro secara agresif berasaskan ekuiti seperti Mudharabah, sekali gus menggalakkan subsidiari perbankan Islam di dalam kumpulan perbankan konvensional,” katanya kepada Bisnes Metro.
Beliau berkata, saranan lain ialah mencipta modal tinggi bagi perbankan Islam untuk menggalakkan penggabungan dan pengambilalihan antara bank Islam domestik serta sebagai langkah memperkukuhkan keseimbangan serta nisbah modal yang mencukupi. “Bank Islam turut menyarankan agar usaha membangunkan keupayaan dan kapasiti perbankan Islam diteruskan,” katanya.
Pada 2001, BNM membentuk pelan induk bagi membina sistem kewangan yang stabil dan kepelbagaian untuk tempoh 10 tahun. Dalam pelan itu, terdapat enam kategori yang difokuskan iaitu sektor perbankan, sektor insurans, sektor perbankan Islam dan takaful, institusi kewangan pembangunan, kaedah pembiayaan alternatif dan Pusat Kewangan Luar Pesisir Pantai Antarabangsa (IOFC) Labuan.
TEKNIK INSTAGRAM --> http://goo.gl/wu0QMd
BLOG PROJEK RM10 --> http://projek-rm10-sahaja.blogspot.com/